KUALA LUMPUR – Sebanyak 23.2 peratus atau 5,633,903 individu berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di aplikasi MySejahtera sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Jumlah kumulatif terkini itu berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di laman Twitter.
Berdasarkan jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,642,287 individu, disusuli Johor (719,264), Kuala Lumpur (509,036), Sarawak (445,813), Pulau Pinang (400,556), Perak (386,097), Kedah (281,512) dan Sabah, 248,358.
Negeri Sembilan pula merekodkan seramai 228,275 individu sudah mendaftar, manakala Pahang (214,983), Melaka (176,261), Kelantan (148,355), Terengganu (139,381), Putrajaya (39,984), Perlis (34,556) dan Labuan, 19,185.

Program itu dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan Kumpulan Barisan Hadapan, disusuli Kumpulan Berisiko Tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.
Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022, sekali gus membentuk imuniti kelompok untuk mengekang penularan COVID-19.
Lima kaedah pendaftaran disediakan kerajaan, masing-masing menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Berdasarkan program suntikan berkenaan yang dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian ialah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.
Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah membolehkan masyarakat mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahu pun manual adalah sama merangkumi 18 langkah. – BH Online

