PADA tahun 2010, pemain ragbi Australia berusia 19 tahun, Sam Ballard sedang bergembira minum wine dengan rakan-rakannya ketika seekor siput (slug) dijumpai merangkak dekatnya. Di bawah pengaruh alkohol (separa mabuk), mereka mula cabar mencabar satu sama lain yakni siapa yang berani memakan siput tersebut.
Disebabkan ia siput taman, mereka berfikir paling teruk pun sekadar sakit perut dan cirit-birit, tetapi ia akan menjadi sesuatu topik yang menyeronokkan untuk dibincangkan sekurang-kurangnya sepanjang minggu, bukan?
Akhirnya, Sam memutuskan untuk menyahut cabaran tersebut!
Terbukti kesilapan terbesar dalam hidupnya yang serba lengkap ketika itu.
Hanya beberapa jam selepas menelan siput berkenaan, dia menjadi lemah dan mengadu sakit di bahagian kaki. Setelah menjalani pemeriksaan perubatan, Sam disahkan dijangkiti cacing paru-paru tikus (rat lungworm) dari siput yang ditelannya.

Seperti namanya, penyakit ini disebabkan oleh sejenis cacing parasit yang biasanya terdapat pada paru-paru tikus yang akan keluar dari sistem tikus melalui najisnya. Tidak perlu dikatakan, siput tertentu mesti bersentuhan dengan kotoran tikus, baik melalui merangkak di atasnya atau mungkin juga memakannya.
Apabila manusia memakan haiwan itu yang dijangkiti, manusia menjadi perumah cacing tersebut. Malangnya, sistem dalaman manusia tidak sama seperti tikus yang mampu membuang cacing berkenaan keluar, tanpa apa-apa kesan buruk.
Sebaliknya, jika memasuki tubuh manusia, ia memberikan reaksi yang berbeza-beza.
Untuk sesetengah manusia, kehadiran cacing paru-paru tikus dalam tubuh mewujudkan simptom ringan seperti sakit kepala, mual, muntah, demam dan leher kaku. Ada yang pulih tanpa apa-apa reaksi langsung.
Namun, untuk Sam, ia menjadi sangat serius apabila berlaku jangkitan otak.
Dia koma selama 420 hari. Seterusnya menghabiskan tiga tahun usianya dengan tinggal di hospital.
Sam Ballard, pemuda kacak pemain rugbi…MENGHEMBUSKAN NAFAS TERAKHIR PADA 2018, semuanya berpunca daripada jenaka bersama kawan-kawan. – Mynewshub.TV
