KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu selepas mendapat sokongan ahli parlimen susulan perbahasan dan sesi penggulungan menteri selesai selama 90 minit.
Terdahulu, suasana Dewan Rakyat ‘panas’ selepas beberapa Ahli Parlimen mempertikaikan ketiadaan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sesi perbahasan dan penggulungan.
Dr Adham digantikan timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ‘diserang’ bertubu-tubi oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sehingga menyebabkan sesi penggulungan terganggu beberapa kali.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga terpaksa mengawal ‘suhu’ dewan yang sentiasa hangat dan memberikan beberapa kali amaran kepada ahli parlimen yang mencelah tanpa kebenaran Dr Noor Azmi.
“Yang Berhormat, kita bagi peluang TImbalan Menteri untuk menjelaskan perkara yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan. Jika tidak diberi ruang untuk mencelah, anda tidak boleh mencelah.
“Jika TImbalan Menteri tidak sempat menjawab mungkin disebabkan dia tidak mempunyai data sekarang dan saya akan pastikan Yang Berhormat akan menerima jawapan bertulis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Azmi ketika sesi penggulungannya menafikan peruntukan KKM dikurangkan dalam Belanjawan 2021 seperti yang didakwa.
Menurutnya, bagi Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan sebanyak RM31.9 bilion merangkumi semua aspek kesihatan termasuk Covid-19.
“KKM buat penambahbaikan terhadap sektor kesihatan dan peruntukan juga meningkat setiap tahun jika dibandingkan sebelum ini.
“Setiap tahun, KKM menerima peruntukan yang besar dan kerajaan prihatin serta faham kerana kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” katanya. – myMetro Online