• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Monday, March 30, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Mohamed Apandi Tuntut Ganti Rugi

oleh
01/10/2020
dalam Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah menghantar surat tuntutan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya atas penamatan khidmat beliau sebagai Peguam Negara dua tahun lepas, yang didakwa sebagai tidak sah.

Surat bertarikh 30 September melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners itu telah diserahkan kepada AGC semalam.

Peguam Mohamed Apandi, Datuk Baljit Singh mengesahkan perkara ini ketika dihubungi hari ini.

Dalam surat berkenaan, bekas Peguam Negara itu meminta AGC memberi maklum balas terhadap tuntutannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat tersebut dan sekiranya gagal berbuat demikian beliau akan mulakan proses undang-undang untuk penyelesaian yang sesuai termasuk ganti rugi teladan atau punitif serta kos.

Mohamed Apandi mendakwa pemecatannya didalangi dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, beliau dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun hingga 26 Julai 2018 dan persetujuan itu diberikan berdasarkan nasihat Perdana Menteri pada ketika itu, dalam surat bertarikh 27 Julai 2015.

Mohamed Apandi berkata pelantikan itu hanya boleh ditamatkan berdasarkan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendakwa pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah memaklumkannya bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah memperkenankan pelantikan semula beliau yang berkuat kuasa pada 27 Julai 2018, yang diterimanya melalui sepucuk surat bertarikh 7 Mei 2018.

Namun, pada 5 Jun, pada tahun yang sama, beliau diberitahu oleh KSN bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penamatan pelantikannya sebagai Peguam Negara dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah diberikan sebarang dokumen yang membuktikan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa pemecatan beliau didalangi dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu yang mengambil tindakan sendiri terhadap pemecatannya secara tidak sah.

Mohamed Apandi, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, mendakwa Perdana Menteri ketika itu telah menyalahgunakan kedudukannya dan melakukan salah laku sebagai pegawai awam.

Beliau turut mendakwa tindakan Perdana Menteri ketika itu dibuat dengan tujuan melanggar kontrak, antara Kerajaan Malaysia dan dirinya.

Mohamed Apandi dengan tegas menyatakan bahawa pemecatannya menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Akibatnya, beliau mendakwa beliau telah mengalami kerugian termasuk kehilangan pendapatan, elaun dan faedah lain mulai 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021.

Pada Mei 2018, dilaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa Mohamed Apandi diberi cuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei 2018.

Anak kelahiran Kelantan itu dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang perkhidmatannya ditamatkan atas sebab kesihatan.

Pada Jun 2018, Tan Sri Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara menggantikan Mohamed Apandi. Bagaimanapun Thomas meletak jawatan sebagai orang nombor satu di AGC itu pada 28 Februari lepas setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun dipilih mengisi jawatan Peguam Negara itu pada 6 Mac 2020.

Mohamed Apandi ketika ditanya mengapa beliau mengambil tindakan berkenaan selepas dua tahun, berkata sebelum ini beliau tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk melakukannya.

“Tetapi saya mengambil masa dua tahun untuk memikirkan segala kemungkinan isu dan naratif yang terbabit yang membawa kepada pemecatan saya.

“Saya hanya ingin menggunakan hak-hak perundangan saya terhadap penyalahgunaan kedudukan dan kuasa oleh bekas PM, Dr Mahathir, yang menyingkirkan saya sebagai AG (Peguam Negara) tanpa alasan kukuh setelah tempoh perkhidmatan saya sebagai AG dilanjutkan dan diberikan (perkenan Yang di-Pertuan Agong),” katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Had Masa 1953 (Akta Had Masa), tindakan dalam kontrak dan tort (salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil),  tidak boleh diambil tindakan selepas tamatnya tempoh enam tahun dari tarikh kausa tindakan itu terakru. – BERNAMA

Tags: jabatan peguam negaraMohamed apandi aliPeguam Negara
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Peguam Negara Arah Terus Rayuan Kes Syed Saddiq, Terima Apa Jua Keputusan Akhir Mahkamah Persekutuan

Peguam Negara Arah Terus Rayuan Kes Syed Saddiq, Terima Apa Jua Keputusan Akhir Mahkamah Persekutuan

17/12/2025
0

KUALA LUMPUR: Peguam Negara mengarahkan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan...

TERKINI: Peguam Negara Gagal Ketepikan Prosiding Semakan Kehakiman Titah Adendum Najib

TERKINI: Peguam Negara Gagal Ketepikan Prosiding Semakan Kehakiman Titah Adendum Najib

13/08/2025
0

PUTRAJAYA: Peguam Negara gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd