SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ini berikutan penganjuran majlis rumah terbuka anjuran beliau pada Ahad lalu di Kediaman Exco Kerajaan Negeri Selangor di Seksyen 7, di sini dihadiri lebih 20 tetamu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima arahan mengenakan kompaun daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada tengah hari hari ini.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
“Polis akan menghubungi beliau untuk tampil ke IPD Shah Alam bagi menyerahkan kompaun terbabit.
“Arahan kompaun ke atas penganjur. Penganjur ialah Datuk Rashid. Jadi penganjur sahaja yang dikompaun. Tetamu jemputan beliau tidak dikompaun,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Baharudin berkata, polis difahamkan semua tetamu yang hadir ialah penyokong Abdul Rashid dari Kapar, Klang.
“Majlis rumah terbuka itu memang dianjurkan oleh beliau dan difahamkan tetamu yang datang memang dijemput oleh beliau. Mengikut kenyataan, beliau juga tidak jangka (tetamu) melebihi jumlah itu,” katanya.
Beliau berkata, Abdul Rashid hadir memberikan kenyataan malam tadi di IPD Shah Alam berhubung perkara itu. – BH Online