NEW YORK – Hartawan terkemuka dunia, Jeff Bezos mengekalkan kedudukan sebagai individu terkaya di dunia tahun ini meskipun kekayaannya menyusut sebanyak AS$18 bilion (RM78 bilion), demikian mengikut senarai terkini dikeluarkan Forbes.
Mengekalkan kedudukan itu untuk tahun ketiga berturut-turut, kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif Amazon itu bernilai AS$113 bilion (RM490 bilion), susut berbanding AS$131 bilion (RM569 bilion) tahun lalu, berikutan perceraiannya baru-baru ini.
Bill Gates kekal kedudukan individu kedua terkaya di dunia dengan nilai kekayaan AS$98 bilion (RM426 bilion), meningkat AS$1.5 bilion (RM6.51 bilion) berbanding tahun lalu.
Kedudukan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LVMH, Bernard Arnault meningkat dan julung kalinya beliau berada dalam kedudukan tiga terkaya dunia, dengan muncul sebagai individu ketiga terkaya di dunia selepas kekayaan Warren Buffett jatuh sebanyak AS$15 bilion (RM65 bilion).
Buffett menduduki tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$67.5 bilion (RM293 bilion), jatuh berbanding AS$82.5 bilion (RM358 bilion) tahun lalu.
Tempat kelima dipegang oleh Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Teknologi Oracle Corporation, Larry Ellison, dengan kekayaan bernilai AS$59 bilion (RM256 bilion).
Forbes berkata, terdapat 178 hartawan tersenarai buat pertama kali termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan dan Julia Koch, yang memegang 42 peratus kepentingan dalam Koch Industries daripada mendiang suaminya, David, yang meninggal dunia tahun lalu.
Dengan nilai kekayaan, AS$38.2 bilion (RM166 bilion) meletakkan Koch pada kedudukan ke-18 individu terkaya dunia, sekali gus menjadikannya wanita ketiga terkaya di dunia selepas Alice Walton (Walmart Inc) dan Francoise Bettencourt Meyers (L’Oréal).
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan jangkaan nilai kekayaan pada paras AS$2.1 bilion (RM9 bilion), menjadikannya menduduki tempat ke 1,001, jatuh daripada kedudukan 715 tahun lalu.