KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menanggung perbelanjaan makanan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak dapat pulang ke rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ibu bapa tidak perlu bimbang dengan keadaan anak masing-masing kerana kerajaan menanggung sepenuhnya perbelanjaan makanan mereka.
“Insya-Allah pelajar berkenaan berada dalam keadaan selesa di kolej kediaman masing-masing dan makanan diberikan dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tadi (Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan) selepas kita dapat aduan kebimbangan ibu bapa yang anak mereka di universiti tidak berkemampuan membeli makanan apabila tidak dapat pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Ismail Sabri turut menjelaskan, ketika ini seramai 60,000 pelajar berada di kolej kediaman dan jumlah sebenar peruntukan untuk perbelanjaan makanan itu sedang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Saya juga berterima kasih dengan kerajaan-kerajaan negeri yang mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kepada pelajar yang ada di negeri masing-masing,” katanya. – BH Online

