SEREMBAN – Kehadiran dua lelaki yang memakai kostum adiwira filem Captain America dan Deadpool menarik perhatian lebih 700 murid terutama Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul di sini, hari ini.
Kehadiran mereka yang menjadi ‘penyambut tetamu’ sekolah itu bukan saja membuatkan murid ceria, malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka turut tersenyum lebar dan merakamkan gambar anak masing-masing bersama dua watak adiwira berkenaan.
Guru Besar sekolah itu, A Santhanasmy, berkata meletakkan ‘penyambut tetamu’ seperti itu sebenarnya sudah dilakukan pihak sekolah sejak 2016.
Katanya, idea itu hasil perbincangan bersama antara sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurus Sekolah.
“Tahun pertama kita bawakan badut untuk menyambut murid dan ternyata ia berhasil menjadikan suasana lebih ceria selain dapat menghilangkan rasa gemuruh terutama murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama persekolahan.
“Melihatkan kepada sambutan itu, tahun berikutnya kami tampilkan sesuatu yang lebih menarik iaitu watak adiwira daripada pelbagai filem terkenal,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Santhanasmy berkata, ternyata kehadiran watak memakai pakaian adiwira membuatkan seramai 105 murid Tahun Satu yang mula bersekolah hari ini lebih teruja.
Selain itu, katanya, mereka turut dipakaikan lencana bertulis ‘Saya seorang yang hebat’ sebagai tanda mereka adalah murid yang terpilih memasuki sekolah berkenaan.
“Apabila tiada lagi murid yang menangis atau meragam kerana takut, proses mengajar dapat berjalan lancar sekali gus memudahkan urusan guru.
“Malah ibu bapa juga tidak lagi berasa bimbang meninggalkan anak mereka dalam keadaan gembira di sekolah,” katanya.
Katanya, bagi menceriakan sesi persekolahan hari ini, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM1,000 iaitu kos menyewa dua kostum adiwira dan menyediakan lencana.
“Saya yakin usaha kreatif ini yang turut dilakukan di sekolah lain mampu menarik murid-murid untuk ke sekolah dan selagi dapat memberikan kesan positif ia perlu diteruskan,” katanya. – BH Online

