KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International Sdn. Bhd. (SRC) dan tidak terbabit dalam transaksi dana berjumlah RM40 juta.
Transaksi dana itu didakwa dipindahkan daripada akaun SRC kepada Gandingan Menteri Sdn Bhd (GMSB) dan seterusnya ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 12 Disember 2014.
Pembabitan Najib dalam hal membabitkan syarikat SRC mendapat kelulusan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Kabinet dan Kementerian Kewangan yang hanya bertujuan menjaga kepentingan kerajaan dan negara.
Demikian ditegaskan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib ketika membacakan pernyataan pembukaan pada prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Muhammad Shafee berkata, keputusan untuk meletakkan SRC di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) diluluskan oleh Najib selepas perbincangan dilakukan antara Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Kesimpulannya jelas bahawa Najib tidak diberitahu dengan tepat mengenai baki sebenar dalam akaun malah beliau tidak menyedari transaksi sebenar dalam akaunnya.
“Dalam kes pendakwaan tiada plot pengaliran wang dana yang dikeluarkan berkaitan dengan anak guam saya. Malah Najib tidak membuat laporan polis berhubung urus niaga dalam akaunnya memandangkan perkara itu di bawah penyiasatan pihak berkuasa,” katanya.
Peguam bela yang mewakili Najib itu menjelaskan, pihak pembelaan akan mengemukakan beberapa perkara dalam prosiding bela diri antaranya Najib tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan pembabitan dalam beberapa transaksi.
Hujah beliau, transaksi itu termasuk dana berjumlah RM40 juta dipindahkan daripada akaun SRC kepada GMSB dan seterusnya ke akaun IPSB pada 12 Disember 2014.
Beliau berkata dana lain adalah, dana berjumlah RM27 juta dan RM5 juta yang dipindahkan daripda IPSB ke dalam akaun dengan nombor berakhir 880 dan 906 pada 26 Disember 2014 dan dana berjumlah RM27 juta dan RM5 juta daripada akaun 880 dan 906 kepada akaun PSBS dan Putra Perdana Construction (PPC) pada 29 Disember 2014.
“Dana berjumlah RM10 juta pula yang dikeluarkan daripada akaun SRC kepada GMSB dan seterusnya kepada IPSB pada 5 serta 6 Februari 2015.
“Dana RM10 juta daripada IPSB kepada akaun 880 pada 10 Mei 2015,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu akan membuat kenyataan bersumpah daripada kandang saksi selepas diperintahkan membela diri oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 11 November lalu.
Mohd Nazlan sebelum ini memutuskan terdapat kes prima facie terhadap Najib selepas selesai perbicaraan selama 58 hari di mana seramai 57 saksi pendakwaan dikemukakan. – BH Online