KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendirian tegas pihaknya tidak akan melepaskan PLUS Malaysia Berhad untuk “sebarang tawaran yang lebih rendah daripada nilai saksama”.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata KWSP mengambil maklum mengenai pengumuman kerajaan mengenai PLUS dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam selain keputusan mengurangkan caj tol sebanyak 18% di semua lebuh raya kendalian PLUS.
KWSP, kata beliau akan membincangkan perkara itu dengan kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd. secepat mungkin bagi memastikan kepentingan ahlinya dilindungi.
“Kami gembira perkara yang berlanjutan ini akan selesai secara wajar dan memuaskan dengan mengambil kira kebimbangan kami dan mengiktiraf nilai sebenar aset ini.
“Kami juga mahu memberi jaminan kepada ahli-ahli kami bahawa KWSP tidak akan melepaskan PLUS untuk sebarang tawaran yang lebih rendah daripada nilai saksama.
“PLUS telah memberi sumbangan besar kepada KWSP melalui pulangan kewangan serta faedah sosial dalam bentuk lebuh raya yang selamat dan selesa untuk kalangan ahli dan rakyat Malaysia secara amnya,” katanya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata pengguna lebuh raya bertol dijangka akan menikmati diskaun secara purata 18% di semua lebuh raya milik PLUS sekiranya proses pengambilihan selesai kelak.
Katanya, dalam manifesto Pakatan Harapan, adalah dinyatakan rundingan akan dilaksanakan untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir bagi menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.
“Jemaah menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.
“Selaras dengan manifesto Pakatan Harapan, rakyat akan boleh menikmati diskaun sebanyak 18% secara purata di semua lebuh raya milik PLUS, memberikan penjimatan kepada rakyat pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038,” kata beliau.