SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati di sini bermotifkan politik dan rasis.
Beliau berkata, ini berikutan ramai pihak hadir terdiri daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), pihak universiti dan pelbagai parti politik sebagai orang Melayu dalam mengetahui kedudukan maruah dan bagaimana ingin memulihkannya.
“Kongres ini tidak rasis, kita tidak kecam orang Cina, India tetapi sebenarnya nak kecam orang Melayu.
“Kenapa mereka (Melayu) jadi begini sebab mereka tidak buat apa yang harus dilakukan oleh mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mahathir memberitahu, kehadiran pemimpin parti politik termasuk pembangkang menunjukkan kesedaran mereka mengenepikan fahaman politik dan persendirian kerana bertanggungjawab terhadap pemulihan maruah orang Melayu.
“Mereka yang hadir ini bukan satu parti dan tidak bercakap pasal parti itu dan ini sebaliknya berkaitan orang Melayu.
“Apa kedudukan mereka dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Di manakah mereka buat kesilapan yang menyebabkan ketinggalan di negara sendiri oleh orang lain?” katanya.
Ketika ditanya mengenai kerajaan kini tidak cukup kemelayuan, Mahathir menegaskan perkara itu berlaku susulan perkelahian sesama sendiri sehingga menjadi lemah.
“Kita pecah sampai enam parti politik dan masing-masing semua nak jadi Perdana Menteri (PM).
“Kita ada satu sahaja jawatan PM, kalau ada enam jawatan boleh lah seorang satu,” jawabnya dalam nada seloroh.
Dalam perkembangan berlainan, kerajaan akan mempertimbangkan resolusi diterima daripada kongres tersebut.
“Ini melibatkan perasaan orang Melayu yang risau mengenai masa depan. Namun, masyarakat Melayu juga memainkan peranan dalam menyelamatkan dan membaiki semula maruah tersebut,” katanya. – K! ONLINE