KUALA LUMPUR – Tujuh pelajar di sebuah kolej swasta dan seorang aktivis ditahan polis bagi membantu siasatan selepas didapati cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Jalan PJU 1A/41B, Pusat Dagangan NZX Ara Damansara, Kelana Jaya.
Kesemua suspek ditahan selepas mengadakan perhimpunan bersama 100 pelajar di hadapan kolej tersebut bagi membantah pembuangan pengerusi, R. Yagesh dan setiausaha kesatuan pelajar kolej terbabit, Ho Joe Yee.
Difahamkan kedua-dua pemimpin pelajar tersebut dibuang secara salah oleh pihak pengurusan kolej dengan menggunakan alasan tidak membayar yuran mengikut tempoh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, pelajar terbabit telah mempertikaikan tindakan pihak pengurusan yang sengaja menganiaya wakil kesatuan pelajar mereka kerana cuba menyuarakan isu berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk membiayai kos pengajian mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Kelana Jaya diarahkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan.
“Kesemua penuntut yang berhimpun telah diarahkan pihak polis supaya bersurai, namun mereka enggan dan terus berhimpun.
“Ekoran itu, tujuh pelajar termasuk seorang wanita serta seorang aktivis parti politik yang mengetuai perhimpunan bantahan itu kerana cuba menghalang tindakan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ku Mashariman memberitahu, semua yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas.
Difahamkan, lapan individu berusia antara 20 hingga 26 tahun yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik keterangan mereka selesai diambil.