SEREMBAN – Sebuah lori lima tan membawa muatan telur terlibat dalam kemalangan di Kilometer 265.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Bandar Ainsdale di sini, pagi ini.
Kemalangan itu menyebabkan muatan telur bertaburan di atas lebuh raya sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kemalangan itu turut membabitkan sebuah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova.
“Pemandu lori telur seorang lelaki berusia 20-an cedera ringan, manakala pemandu MPV seorang lelaki berusia 40-an dan pemandu treler berusia 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.12 pagi dan seramai tujuh anggota Balai Bomba Dan Penyelamat Seremban 2 bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan. – K! ONLINE