KUALA LUMPUR – Sebarang usaha untuk melemahkan Tabung Haji harus ditentang oleh semua pihak, tegas ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.
Ini kerana katanya, memperkasakan ekonomi bagi umat Islam adalah ‘jihad ekonomi’.
“Tabung Haji adalah sebuah organisasi yang ada karamah dan kemuliaannya, dilahirkan oleh orang-orang yang mulia bagi tujuan yang mulia memenuhi fardhu ain dan fardhu kifayah.
Oleh itu, sebarang usaha untuk melemahkan Tabung Haji harus ditentang oleh semua pihak. Memperkasakan ekonomi adalah jihad ekonomi.
“Jihad ekonomi bagi umat Islam di mana Tabung Haji ini adalah organisasi yang bertanggungjawab bagi umat Islam untuk menunaikan fardhu ain dan fardhu kifayah,” katanya sambil menjelaskan erti jihad sebenar adalah usaha ke arah kebaikan.
Tabung Haji selama ini katanya memberikan subsidi untuk Jemaah-jemaah haji menerusi keuntungan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat yang diuruskan.
Justeru itu katanya, ramai di kalangan umat Islam di negara ini menjadi gusar apabila syarikat-syarikat tersebut yang merupakan aset Lembaga Tabung Haji diletakkan di bawah Syarikat tujuan khas (SPV).
“Selama ini Tabung Haji beri subsidi orang pergi Makkah dengan keuntungan syarikat, bukan kerajaan yang beri subsidi. Ini adalah Tabung Haji sendiri yang beri subsidi dari keuntungan syarikat-syarikat yang diuruskan.
“Kalau syarikat ini dipindahkan kepada SPV, di mana punca kewangan Tabung Haji untuk memberi subsidi. Ini membimbangkan kita, punca kewangan Tabung Haji akan menjadi semakin kurang dan melemahkan organisasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat, Selasa.
Namun begitu, beliau turut menyeru kepada masyarakat supaya tidak mengeluarkan wang simpanan mereka di Tabung Haji.
“Kita akan mempertahankan Tabung Haji ini, kita akan pastikan proses membaik pulih ataupun proses menjadikan Tabung Haji sebagai organisasi yang penuh kemuliaan harus diteruskan,” katanya. – Agenda News