REMBAU – “Saya tak pernah minta tolong dengan tuan-tuan. Tuan-tuan yang selalu minta tolong dengan saya. Kali ini saya minta tolong tuan-tuan pada 13 haribulan ini tolonglah saya.”
Itu permintaan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang akan keluar mengundi pada 13 April ini supaya mengundi beliau.
Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau perlu terus berada dalam DUN sebagai ketua pembangkang bagi memperjuangkan nasib rakyat Negeri Sembilan yang dalam kesusahan.
“Saya perlu masuk dalam (sidang) DUN tuan-tuan sebab saya sekarang ketua pembangkang. Saya tahu selok belok Negeri Sembilan dari A sampai Z.
“Tak dapat mereka (kerajaan Pakatan Harapan) nak temberang-temberang kita,” katanya sewaktu berucap pada ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan di sini malam tadi.
Mohamad berkata, antara kesusahan yang sedang dialami rakyat Negeri Sembilan sejak bertukar kerajaan adalah ramai penerima bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat dan baitulmal tidak lagi menerima bantuan itu.
Menurut beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau mewariskan kerajaan Negeri Sembilan dengan banyak wang iaitu kira-kira RM764 juta semasa menjadi Menteri Besar.
“Jika kerajaan Pusat hentikan bantuan ini, kerajaan Negeri Sembilan mesti ambil alih supaya golongan ini terus dapat pembelaan,” katanya.
Katanya, beliau turut kesal dasar kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini mewajibkan 20 peratus daripada rumah yang mahu dibina oleh pemaju mesti rumah mampu milik berharga bawah RM80,000 tidak diteruskan kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberi bayangan akan bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Selain itu, beliau memaklumkan, UMNO dan PAS akan bersepakat dalam pembahagian kerusi di peringkat DUN dan Parlimen pada PRU-15 untuk memenangi pilihan raya berkenaan. – K! ONLINE

