PENGERUSI Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan menegaskan pihak pengurusan lapangan terbang yang perlu tampil bertanggungjawab di dalam kejadian sebuah pesawat merempuh sebuah kereta unit kejuruteraan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Isnin lalu.
Tegas Vincent, Juruterbang pesawat Berjaya Air sudah mengikut semua prosedur pengendalian, pendaratan serta turut mendapat kebenaran mendarat daripada menara kawalan Subang.
Justeru itu katanya, Berjaya Air dan juruterbang terbabit tidak sepatutnya dipersalahkan.
Dalam kejadian itu, seorang kakitangan MAHB yang memandu kereta terbabit, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggal dunia.
“Kesalahan bagi kejadian ini mesti terletak pada pihak berkuasa lapangan terbang. Mereka sepatutnya memberi amaran awal mencukupi kepada pesawat yang dalam perjalanan masuk ke lapangan terbang mengenai kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di landasan atau menutup terus lapangan terbang.
“Tiada amaran sedemikian diberikan dan saya berpendapat pihak berkuasa lapangan terbang cuai serta berharap kejadian ini membuka mata pihak terbabit supaya ia tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain itu Vincent berkata, beliau secara peribadi akan mendermakan RM50,000 kepada balu mangsa bagi membantu meringankan kesulitan kewangan keluarga.
Sementara itu, Berjaya Air dalam satu kenyataan memaklumkan jet peribadi yang terbabit dalam pelanggaran dengan kenderaan penyelenggaraan di LTSAS itu terbang dan mendarat sesuai dengan pelan penerbangan yang dikemukakan dan diluluskan Pusat Kawalan Lalu Lintas Udara, sebelum ia dijadualkan mendarat.
“Menara di lapangan terbang memberi kebenaran kepada juruterbang untuk mendarat dan tidak ada ‘Notice to Airmen’ atau NOTAM yang dikeluarkan untuk memaklumkan bahawa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di landasan.
“Tidak ada suar atau lampu amaran untuk memberi amaran kepada krew bahawa adanya kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di landasan.
“Malah, pesawat itu sudah mendarat dan kelajuannya sudah berkurangan ketika ia bertembung dengan kenderaan penyelenggaraan,” katanya.
Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun Mohd Ruzaimi yang parah dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan.
Sehari kemudian, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin memaklumkan Mohd Ruzaimi disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang, ketika menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Mangsa meninggalkan isteri, Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara setahun hingga 13 tahun. – Agenda News

