PUTRAJAYA – Kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor telah menyaksikan sebanyak 5,848 pesakit dirawat sejak 8 Mac lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 951 mangsa dimasukkan dalam wad manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Menurutnya, kementerian juga telah menggerakkan sebanyak 762 kakitangannya dalam menghadapi kejadian berkenaan.
“Saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana tiada kematian dalam kejadian berkenaan. Tidak diisytiharkan juga darurat. Rakyat hendak penjenayah yang membuang sisa toksik di sungai itu diambil tindakan serta diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika berucap, Dzulkefly memberitahu, lapan daripada sepuluh rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit pergigian.
Katanya, berdasarkan kajian, hanya 27.4 peratus orang dewasa mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam tempoh satu tahun manakala hanya 42 peratus orang dewasa berjumpa doktor gigi dalam tempoh dua tahun.
“Peratusan rendah tersebut disebabkan oleh persepsi orang ramai bahawa mereka tidak mempunyai masalah mulut iaitu merangkumi 68 peratus daripada hasil kajian,” katanya. – K! ONLINE