KUANTAN – Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan rawatan perubatan kesuburan bernilai RM209,233, sejak tahun 2014.
Pengakuan Mazuin Zulkifli, 33, yang berasal dari Taman Impianku di Jalan Sungai Lembing di sini, direkodkan di hadapan Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 10 Oktober 2014 hingga 25 Oktober 2017 dengan mengemukakan Borang Perubatan 1/90 beserta resit-resit rawatan yang berjumlah antara RM3,243 hingga RM9,000 di Pusat Kesuburan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini.
Wanita bertubuh kecil itu didakwa melakukan kesalahan itu semasa dia berkhidmat di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang, memandangkan dia ditukarkan ke jabatan itu pada tahun 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

