JEMPOL – Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan memperjuangkan nasib kira-kira 500 orang dari 100 keluarga peserta Felcra Rompin yang hidup dalam kesusahan ekoran elaun sara hidup sebanyak RM800 sebulan tidak diterima sejak Ogos tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan menggunakan apa jua saluran termasuk persidangan Parlimen dan media sosial bagi membangkitkan isu itu kepada kerajaan yang memerintah.
“Saya akan gegar dalam posting yang ditunggu-tunggu kira-kira 3.8 juta pengikut di Facebook dan 4 juta di Twitter supaya orang tahu nasib yang menimpa penduduk di sini (Felcra Rompin).
“Ini (tidak memberi elaun sara hidup) adalah tindakan menghukum dan mendera hingga rakyat hidup dalam sengsara,” katanya sambil disambut tepukan kuat orang ramai yang hadir dalam Majlis Sepetang Bersama Bossku Datuk Seri Najib Razak di Felcra Rompin semalam.
Yang turut hadir para pemimpin UMNO Bahagian Jempol diketuai Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.
Pada 25 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 100 keluarga peserta Felcra Rompin hidup dalam kesusahan akibat elaun sara hidup sebanyak RM800 sebulan tidak lagi diterima sejak Ogos tahun lalu.
Mereka kini hidup dalam keadaan terumbang-ambing memandangkan tanaman getah untuk tanah rancangan itu masih dalam proses tanaman semula sejak Ogos 2015.
Sebelum ini semua 100 keluarga itu menerima elaun sara hidup berkenaan sejak projek tanam semula dilakukan tetapi ia terhenti mulai Ogos tahun lalu.
Najib berkata, masalah seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kalau BN masih memerintah, angkara seperti ini tidak akan berlaku.
“Saya bersimpati dengan nasib semua keluarga di sini. Kita jangan putus asa tetapi terus berjuang habis-habisan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE