KUALA LUMPUR – Hanya seorang individu bawah umur yang masih ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana terbabit dengan kegiatan jenayah kekerasan iaitu rompakan bersenjata.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, berkata pesalah juvana itu sedang menjalani tahanan dua tahun di tempat tahanan berasingan daripada tahanan dewasa di Pusat Pemulihan Khas Kluang, Johor.
Beliau mengulas gesaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak dan juvana yang ditahan di bawah POCA, kerana akta itu banyak memberi kesan trauma kepada golongan muda itu.
“Saya berasa terkejut dengan pendedahan itu, jadi saya segera memanggil menteri dan (pegawai) kementerian yang bertanggungjawab… polis (PDRM) memaklumkan kepada kami sebenarnya tinggal hanya seorang sahaja di bawah POCA sehingga 30 Januari,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengagihkan limau mandarin kepada penduduk setempat di Pasar Taman Muda dan Pasar Pagi Pandan Perdana. – BERNAMA