NAYPYIDAW – Myanmar menggesa tenteranya melancarkan operasi menentang pemberontakan etnik Buddha Rakhine susulan serangan maut ke atas empat balai polis minggu lalu, kata jurucakap kerajaan semalam, ketika kemuncak keganasan memaksa ribuan lari dari rumah.
Negeri barat bermasalah di Rakhine menyaksikan siri pertembungan sejak beberapa minggu lalu antara pasukan keselamatan dan Tentera Arakan (AA), kumpulan bersenjata mendesak lebih banyak kuasa autonomi untuk penduduk etnik Buddha, Rakhine.
Kawasan itu adalah satu daripada yang termiskin di Myanmar dan dibelenggu kebencian mendalam etnik dan agama.
Satu kempen kejam tentera pada 2017 memaksa ratusan ribu Muslim Rohingya lari ke sempadan Bangladesh.
Keganasan terbaharu oleh pemberontak etnik Rakhine bermula Jumaat lalu, ketika Hari Kemerdekaan Myanmar, dalam serbuan berani sebelum awal pagi ke atas pos polis di bandar Buthidaung berhampiran sempadan Bangladesh.
Pihak berkuasa berkata, serangan oleh ratusan pemberontak menyebabkan 13 pegawai polis maut dan sembilan cedera sebelum tentera atau Tatmadaw mendapat bantuan sokongan.
AA berkata, tiga daripada pejuangnya maut, menuduh tentera menggunakan balai polis sebagai pangkalan untuk melancarkan senjata berat.
Kira-kira 4,500 orang hilang tempat tinggal akibat keganasan selama beberapa minggu, kata agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam. – Agensi