PADAH… Restoran yang tular susulan pekerjanya ditampar pelanggan kerana tegur merokok didapati eksploitasi tangkal sebagai azimat digantung sebelah ayat al-Quran dalam premis tersebut.
Perkara aneh itu terdedah hasil serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di restoran 23 jam popular yang terletak di Seksyen 25, Shah Alam kira-kira pukul 11 pagi semalam, lapor media tempatan.
Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, serbuan itu hasil aduan orang ramai kerana restoran itu mengelirukan masyarakat Muslim dengan gantung ayat al-Quran dan tulisan jawi pada papan tanda.
Kata beliau, hasil semakan mendapati restoran itu memang merupakan pemilikan secara perkongsian antara dua individu dengan seorang daripadanya disahkan sebagai beragama Islam dan seorang lagi bukan beragama Islam.
“Apa yang meragukan sepanjang pemeriksaan adalah premis itu telah menggantung bungkusan kain kuning yang dipercayai sebagai tangkal dan azimat di sebelah ayat al-Quran.
“Bekalan bahan mentah seperti daging kambing juga diperoleh daripada pembekal tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sah selain jual makanan guna logo halal tidak diiktiraf pada bungkusan produk,” katanya.
Beliau menambah, pemeriksaan lanjut pihak JAIS bagaimanapun mendapati restoran tersebut bukan pemegang SPHM yang sah. Premis tersebut juga didapati tidak berada di tahap kebersihan yang memuaskan.
“Bahan mentah diletakkan di atas lantai yang teruk iaitu pecah dan berlubang. Premis juga tidak guna perangkap minyak seperti mana yang disyaratkan oleh pihak berkuasa tempatan kepada restoran-restoran makanan,” katanya.
Sehubungan itu, Salwana menegaskan bahawa tindakan telah diambil menerusi Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Sementara itu, pemilik restoran, T.Krisnasamy akur dengan arahan dikeluarkan JAIS terhadap perlanggaran ayat al-Quran di dalam restorannya dan bahan mentah tiada pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Saya telah turun semua ayat Al-Quran dan pastikan tahap kebersihan dijaga. Saya juga tidak tolak kemungkinan akan jual perniagaan restoran tersebut kepada orang lain,” kata Krisnasamy, 61, ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, ini merupakan kali pertama restoran tersebut diserbu JAIS selepas sepuluh tahun mengusahakannya ekoran berita tular dalam kalanga netizen mendakwa pemiliknya itu sebagai bukan Muslim. – K!ONLINE