KUALA LUMPUR – Rekod 200 meter (m) kebangsaan milik pelari terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan masa 20.90 saat (s) hampir dipecahkan oleh atlet olahraga negara yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib.
Russel, 21, cuma kurang 0.04s sahaja lagi untuk menyamai rekod kebangsaan apabila mencatatkan 20.94s untuk memenangi saingan final 200m Kejohanan Olahraga Shield Series di Pusat Olahraga dan Sukan Queensland, Australia petang tadi.
Pelari pecut yang pernah mewakili negara dengan meraih pingat gangsa 400m Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2015 itu dikatakan sudah berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Asia 2019 di Doha, Qatar pada April, Sukan Universiti Dunia 2019 di Naple, Itali (Julai) dan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina (November).
Catatan masa 20.94s itu juga menyaksikan Russel kini merupakan atlet ketiga terpantas dalam sejarah 200m Malaysia selepas Khairul Hafiz (20.90s) dan legenda olahraga kebangsaan, Tan Sri Dr. M Jegathesan yang mencatatkan 20.92s pada Sukan Olimpik 1968 di Mexico. – K! ONLINE