KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan separuh bogel di tepi sungai di Kilometer 1.1 Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), hari ini.
Mayat berkenaan yang hanya berseluar pendek ditemui oleh pekerja penyelenggaraan lebuh raya kira-kira jam 11.30 pagi sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis.
Ketika ditemui, mayat berada dalam posisi terbaring dengan kesan hitam hampir di keseluruhan bahagian badan dipercayai kesan daripada proses pereputan.
Tinjauan wartawan BH di lokasi mendapati pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan awal di lokasi penemuan mayat.
Turut berada di lokasi, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak bagi membantu mengangkat mayat.
Kehadiran anggota polis dan bomba di lokasi berkenaan turut menarik perhatian orang awam yang berkumpul di sepanjang lebuh raya.
Difahamkan, hasil pemerhatian awal terhadap mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah dan tanda kecederaan yang ketara.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, ketika dihubungi berkata pihaknya akan memaklumkan butiran kes berkenaan kepada media kelak. – BH Online

