KUANTAN – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan selepas dipercayai terbabit dalam urusan penjualan syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jata Sultan Pahang tanpa kebenaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah restoran di Sri Gombak, di Selangor, pada jam 7.15 malam tadi.
Beliau berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis dibuat oleh Pegawai Penyelaras Keselamatan Tengku Abdullah selepas mendapat titah baginda untuk berbuat demikian pada 28 Disember lalu.
“Pegawai baginda membuat laporan polis selepas menerima titah menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan pembuatan dan penjualan Gold Coin (syiling emas). Bertindak atas laporan dibuat, JSJK Pahang menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan suspek.
“Polis turut merampas syiling emas yang masing-masing tertera potret Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan jata Pahang serta satu buku katalog,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, soal siasat terhadap suspek yang juga ahli perniagaan mendapati lelaki terbabit membuat dua syiling emas dengan tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya mendapat perkenan untuk berjumpa Tengku Abdullah bagi memperoleh kebenaran menjalankan perniagaan menjual syiling emas itu.
Katanya, kos pembuatan syiling emas yang dianggarkan RM8,000 setiap satu dipercayai untuk dijual pada harga RM18,888 dan terhad kepada 10,000 set.
Beliau berkata, ekoran itu pihaknya kini sedang memburu seorang lagi lelaki bergelar Datuk dipercayai rakan suspek bagi membantu siasatan berhubung kegiatan membuat syiling emas itu.
“Kita percaya kedua mereka (suspek) dipercayai cuba melakukan penipuan melalui pembuatan syiling emas ini sebelum dijual kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BH Online