BERSATU… Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru rakyat bersama-sama turun ke perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada Sabtu bagi nyatakan solidariti kepada agama, bangsa dan tanah air.
Dalam hantaran menerusi media sosialnya, Timbalan Presiden UMNO itu malahan berharap agar semua peserta dapat mematuhi undang-undang dan peraturan yang diberikan oleh pihak berkuasa demi kelancaran acara tersebut.
“Marilah kita semua dapat hadir bersolidariti bersama-sama demi agama, bangsa dan tanah air… Insya-Allah saya juga akan hadir sama….” tegas mantan Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut.
“Pastikan juga kita menjaga tertib dan patuh pada peraturan dan undang-undang… Semoga berjalan lancar himpunan esok,” tambah Mohamad lagi dengan diakhiri simbol tanda pagar #KL812.
Himpunan Daulat 812 bukan sahaja menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tetapi bantah apa jua bentuk usaha untuk meruntuhkan keharmonian di negara ini.
Ini bagi pelihara kehidupan masyarakat pelbagai agama dan kaum kerana majoriti rakyat Malaysia cintakan keamanan yang telah dibina berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.
