KUANTAN – Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas lori dinaikinya bersama dua yang lain terbabas ke dalam sungai di Kilometer 9.8 Jalan Lama Bentong-Karak di Bentong, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata mangsa K. Danesh Kumar, 18, yang dipercayai kelindan lori tersebut berasal dari Taman Seri Makmur, Karak.
Katanya, pemandu lori P.Sundar Nathan, 29, dan seorang lagi penumpang yang hanya dikenali sebagai Dineswaran bagaimanapun berjaya keluar daripada lori itu dan hanya mengalami luka di kepala, tangan serta kaki.
“Kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 2 petang, apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaan semasa melalui selekoh menyebabkannya terbabas ke dalam sungai di kanan jalan.
“Usaha mencari dan menyelamat Danesh Kumar masih dijalankan pihak bomba sebaik sahaja dimaklumkan kehilangan mangsa selepas kemalangan,” kataya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Kamarulzaman menambah Sundar Nathan dan Dineswaran dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

