KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menafikan dakwaan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bahawa mereka sudah menyelesaikan tunggakan gaji kepada bekas pemain dan jurulatih pasukan berkenaan.
Presiden PFAM, Izham Ismail mendakwa PFA masih tidak memberi sebarang status terkini berhubung tunggakan gaji pada 2016 dan 2017.
“Tunggakan gaji 2018 (dikatakan) akan dibayar secara beransur-ansur dan selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap telah selesai,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan PFAM, hari ini.
Sehubungan itu, Izham menggesa agar PFA mengambil serius perkara berkenaan di sebalik keghairahan mereka menandatangani nama-nama besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.
“Jika PFA terus menerus mengabaikan tanggungjawab ini, pemain-pemain baharu akan menjadi mangsa seterusnya,” tegas beliau.
Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie sebelum ini dilaporkan sebagai berkata isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain dan jurulatih skuad Singa Utara sudah selesai.
Skuad Singa Utara sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat beberapa nama besar seperti bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi selain dua bekas pemain kebangsaan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dari PKNS FC dan Azmi Muslim dari Melaka.
Dalam perkembangan sama, Izham mengingatkan mana-mana pasukan yang masih mempunyai masalah tunggakan gaji untuk mengambil serius soal berkenaan, sebelum mereka ghairah mendapatkan nama-nama besar untuk memperkuatkan pasukan masing-masing pada musim depan.
Beliau pada masa sama turut menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk segera mengeluarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang dikatakan diadakan pada 6 Dis lepas.
”Kelewatan keputusan ini, akan memberi kesan besar kepada pemain, apabila pasukan terus ‘terlepas’ daripada dikenakan hukuman sebelum saingan musim baharu bermula. Kredibiliti FAM selaku badan yang menaungi urusan bola sepak di Malaysia amat ditagih dalam situasi ini,” tegas Izham. – BERNAMA