KUALA TERENGGANU – Orang ramai atau komuniti perlu peka mengenai undang-undang dan prosedur pengambilan anak angkat seperti yang ditetapkan di bawah Akta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengelak kesulitan berkaitan di kemudian hari.
Ketua Pengarah JPN Mohamad Razin Abdullah berkata ada kalangan ibu bapa angkat yang mengambil anak angkat tidak cakna dan mengambil ringan prosedur berkenaan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami masalah pendaftaran sekolah dan sebagainya.
“Mereka yang hendak mengambil anak angkat, perlu datang ke JPN dengan mengisi borang permohonan yang betul dan boleh juga dibuat melalui mahkamah.
“Pengambilan anak angkat kena melalui proses dan prosidur yang telah ditetapkan JPN. Kalau ambil anak angkat begitu sahaja, kemudian hari nanti akan ada masalah seperti dari segi nak daftar sekolah, untuk buat Mykad, untuk mendapat kerja, nak buka akaun bank dan sebaginya,” katanya kepada pemberita pada program temu mesra JPN Terengganu bersama agensi dan media di sini yang turut dihadiri Pengarah JPN Terengganu Mohamad Nasir Kareem.
Mengenai rancangan 2019 JPN, Mohamad Razin berkata JPN akan mempertingkatkan program perkhidmatan kaunter JPN bergerak yang akan ke komuniti tertentu untuk memberi perkhidmatan pengeluaran MyKad atau sijil kelahiran.
Perkhidmatan yang dinamakan mobile ekspres itu mampu mengeluarkan MyKad atau sijil kelahiran dengan segera tanpa perlu pergi ke cawangan-cawangan JPN untuk memungutnya.
“Perkhidmatan itu sekarang masih lagi di peringkat ujian untuk memastikan semua persiapan berjalan lancar dan kalau tidak ada apa-apa masalah, kita akan laksanakannya tahun hadapan,” katanya.
Mohamad Razin berkata, terdapat empat buah bas untuk program mobile ekspres iaitu dua ditempatkan di Sabah dan Sarawak manakala dua lagi di Semenanjung.
Mengenai banjir beliau berkata, JPN akan memberi kemudahan kepada mangsa banjir untuk mendapatkan sijil kelahiran atau kad pengenalan yang rosak atau hilang, secara percuma di samping meminta petugas jabatan itu bersiap siaga terutama di kawasan yang berisiko banjir seperti di Kuala Krai dan Tanah Merah, Kelantan yang pernah ditenggelami pada tahun 2014 hingga merosakkan semua peralatan jabatan itu. – BERNAMA

