SINDIR… Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bidas Pakatan Harapan (PH) yang dahulu buat pelbagai tuduhan kepada Barisan Nasional (BN) atas pelaksanaan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Malahan ujar bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan itu, dahulu pemimpin PH bukan main kerap lagi tuduh konon BR1M kerajaan BN ialah rasuah, dedak dan digelar Cash is King atau wang tunai sebagai raja!
“Kini PH mahu mempercepatkan bayaran BR1M yang kini dijenamakan pula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). Mempercepatkan apa? Mempercepatkan rasuah, dedak dan “Cash is King” kepada rakyat marhaen?
“Boleh tahan tajam juga U-turn (pusingan U) terbaharu mereka ini,” sindir Najib secara nada sinis dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini sebagai mengulas pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Kata bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu, langkah PH terpaksa mempercepatkan bayaran BSH ini juga satu tanda yang pentadbiran sekarang tahu keadaan sebenar ekonomi hari ini lebih teruk daripada jangkaan orang ramai.
“Mereka sedar rakyat sudah mula marah dengan kerajaan PH dan keadaan ekonomi yang semakin menurun,” jelasnya sambil tambah, jika BN masih berkuasa, bayaran BR1M pertama untuk bulan depan bukan hanya RM300.
“Tetapi sekurang-kurangnya RM600 seorang penerima. Bukan itu sahaja. Dahulu kita (BN) boleh bayar BR1M kepada tujuh juta isirumah. Kini mereka (kerajaan PH) hanya mampu bayar kepada 3.7 juta isirumah.
“Orang bujang dari golongan B40 juga akan dapat tetapi di bawah kerajaan PH sekarang, mereka telah diketepikan pula. Tak ada orang bujang yang susah, ke? Tidakkah orang bujang juga yang mengundi PH pada 9 Mei lalu.
“Malah ada yang berjuang bersungguh-sungguh menerusi laman sosial? Apa kata orang bujang?” soal Najib lagi dalam nada penuh sindiran sebagai buat perbandingan senario pembayaran skim itu ketika era BN dan PH hari ini.
Media melaporkan Guan Eng mengumumkan BSH 2019 fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah akan dibayar pada 28 Januari dan diteruskan untuk jamin kesejahteraan ekonomi rakyat. – Agensi/Mynewshub.TV