KUALA LUMPUR – Seorang penagih tegar yang telah disabitkan kesalahan menghisap dadah sebanyak tiga kali sejak 2007, hari ini dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas kesalahan serupa.
Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Roslin Jamal, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Beliau turut memerintahkan tertuduh yang tidak berkerja itu menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Seramai empat saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.
Roslin didakwa memasukkan dadah jenis morfin ke dalam tubuhnya ketika pemeriksaan urin di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada jam 7.20 malam,15 Mei, 2017.
Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun serta tidak lebih tiga sebatan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

