A’ZAZ, SYRIA – Dahulu berharta namun kini semuanya lenyap sekelip mata. Itu antara kesan perang saudara di negara ini menyebabkan kebanyakan individu kaya jatuh miskin, manakala yang tidak berharta pula hidup semakin melarat.
Jika ada harta ditinggalkan sekalipun, ia habis dirampas kumpulan bersenjata.
Itu nasib menimpa kebanyakan penduduk Syria termasuk Muhammad Mahmoud Al Yousef, 53, yang menjadi pelarian di tanah air sendiri selepas tempat tinggalnya di Tal Rifat diserang pemberontak Kurdish tiga tahun lalu.
Muhammad adalah seorang daripada 160,000 pelarian yang menghuni khemah pelarian di Kem Transit di A’zaz.
Katanya, sebelum perang tercetus, dia memiliki sebuah kilang menghasilkan pakaian yang diusahakan bersama keluarganya.
“Perang menyebabkan perniagaan saya merosot kerana jumlah permintaan menurun.
“Tetapi pada Mac 2015, segala perniagaan, rumah serta harta benda dimiliki lenyap sekelip mata apabila pemberontak Kurdish datang dan menyerang bandar Tal Rifat menyebabkan kami terpaksa lari menyelamatkan diri ke sini,” katanya ketika ditemui di Kem Transit, di sini, semalam.
Mohammed yang berkongsi kisahnya berkata, harta bendanya seperti pakaian, kelengkapan rumah, kenderaan termasuk kelengkapan kilang di Tal Rifat habis dicuri pemberontak Kurdish.
“Semuanya… semuanya habis dicuri pemberontak Kurdish. Tiada apa lagi yang tinggal untuk kami di Tal Rifat.
“Kini, kami hanya bergantung hidup dengan pemberian makanan yang disediakan di kem di sini sepenuhnya,” katanya yang tinggal di khemah pelarian bersama tujuh anak dan isteri.
Menurut Mohammed, biarpun kehidupannya kini sangat sukar, namun dia bersyukur kerana belum pernah lagi berlapar sepanjang tinggal di situ.
“Alhamdulilah, biarpun sudah tiada harta dan keadaan sini serba kekurangan, setakat ini saya belum pernah berlapar.
“Susah hendak cerita… tetapi rezeki Allah itu ada. Kekurangan, tetapi tidak sampai menderita. Allah sebagai pemberi rezeki,” katanya.
Menurut Mohammed, dia turut bersyukur kerana tiada anaknya yang maut ketika berlaku serangan di sana, namun ramai saudara-maranya yang lain kehilangan anak.
‘Kami dah lali berlumpur ketika hujan’
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Peribahasa tepat menggambarkan lokasi daif menempatkan 160,000 pelarian Syria di sini yang hidup serba kekurangan.
Biarpun susah, kebanyakan penghuni ditemui mengakui sudah biasa dengan keadaan itu selepas mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman masing-masing lari daripada kekejaman tentera Bashar Al Assad dan pemberontak bersenjata.
Wartawan berkesempatan meninjau keadaan kem berkenaan bersama petugas misi kemanusiaan Syria Care 7.0, sebaik mendapat kebenaran masuk ke Syria menerusi pintu sempadan di wilayah Kilis daripada kerajaan Turki.
Untuk makluman, wilayah A’zaz kini bukan lagi sebahagian daripada wilayah di bawah pentadbiran rejim Bashar Al Assad biarpun masih berada dalam peta Syria.
Sebaliknya, wilayah ini berada dalam kawalan keselamatan kerajaan Turki yang berjaya mengusir kumpulan pemberontak kurdish dalam operasi ketenteraan awal tahun lalu.
Menerusi lawatan di kem pelarian di sini, semalam, wartawan melihat sendiri bagaimana penghuni terpaksa mengharungi keadaan tidak selesa untuk melakukan aktiviti harian.
Ia kerana ada antara khemah dihuni pelarian sudah usang dan dimasuki air ketika hujan, selain terpaksa mengharungi selut serta banjir lumpur apabila cuaca buruk melanda.
Pelarian, Ahmed Abas, 47, berkata, dia sudah lali dengan keadaan di sini selepas berjaya melarikan diri bersama keluarganya dari Homs penghujung tahun lalu.
“Ketika saya datang dulu, kawasan ini baru lepas dilanda banjir lumpur dan penuh dengan selut.
“Terdesak mahukan perlindungan kerana membawa dua anak dan isteri, saya pasrah dan akhirnya terbiasa dengan keadaan di sini walaupun serba kekurangan,” katanya.
Ahmed berkata, penghuni lain juga sama sepertinya yang sudah terbiasa dengan keadaan persekitaran kem berkenaan yang berlumpur ketika hujan dan berdebu ketika musim panas.
“Keadaan di sini lebih baik daripada tinggal di kawasan yang dikuasai pemberontak atau tentera Bashar.
“Bila-bila masa saja nyawa kami boleh melayang jika mereka mula berperang,” katanya.
Bagaimanapun, sebagaimana individu lain, Ahmed mengakui dia berharap agar dapat tinggal
di tempat lebih baik demi keselesaan anak serta isterinya.
“Saya rasa semua orang mempunyai impian yang sama untuk hidup dalam keadaan selesa biarpun tidak kaya dan berharta.
“Cuma mungkin takdir kami sebegini, jadi kami pasrah dan berharap agar nasib ini berubah pada masa depan,” katanya. – myMetro Online

