KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenuhi hajat seorang graduan untuk menyarung jubah konvokesyennya dengan mengadakan Majlis Khas Penyampaian Skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan Dengan Kepujian kepada mahasiswinya, Amirah Mohd Zahari di Wad 3 Utara, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.
Amirah, 24, yang berasal dari Kampung Pasir Badak, Ketereh di sini, yang dirawat sejak hujung Oktober lepas di HUSM akibat penyakit saraf serta jangkitan kuman di otak menyebabkan badannya sentiasa menggeletar selain menjejaskan penglihatan dan pertuturannya.
Beliau sepatutnya turut serta dalam Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-8 yang berlangsung pada 15 Okt lepas di UMK Kampus Kota tetapi terpaksa membatalkan hasrat itu apabila tahap kesihatannya pada ketika itu tidak mengizinkan beliau melangkah sendiri ke pentas.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada UMK kerana menunaikan impian saya untuk memakai jubah konvokesyen walaupun terlambat daripada rakan lain,” katanya kepada pemberita selepas istiadat itu di sini, hari ini.
Terdahulu Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Husaini Omar menyampaikan ijazah kepada Amirah yang turut disaksikan oleh keluarganya dan kakitangan hospital.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Adam Husein, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK Prof Dr Mohd Rafi Yaacob dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FKTW) Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan.
Sementara itu, Husaini berkata majlis ini adalah mini istiadat konvokesyen kali pertama yang diadakan oleh UMK untuk meraikan graduan yang terlantar dalam hospital.
“Ia diadakan bagi menghargai kecemerlangan dan kejayaan yang dicapai oleh Amirah dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.20,” katanya.
Ibu kepada Amirah, Noriah Mamat, 54, berkata anak ketujuh daripada lapan beradik itu pada awalnya mengalami pening dan muntah-muntah ketika minggu terakhir latihan industrinya di Bangi, Selangor pada Jun lepas.
“Apabila dibawa pulang ke sini, Amirah telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik di negeri ini dan doktor hanya mengatakan dia mengalami migrain, sebelum dirujuk ke HUSM Kubang Kerian selepas keadaannya menjadi semakin teruk.
“Ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang dilakukan ke atas Amirah Julai lepas mengesahkan terdapat jangkitan kuman pada otaknya,” katanya sambil menambah Amirah adalah satu-satu anaknya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti. – BERNAMA