KUALA LUMPUR – Seramai 32 warga China termasuk tiga wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan aktiviti judi dalam talian dan pemerdagangan orang yang dibongkar polis semalam di sebuah banglo mewah, di Serdang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata kesemua mereka berusia antara 20 dan 52 tahun direman sehingga 24 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau berkata, dua daripada mereka yang ditemui dengan kesan kecederaan juga telah dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan mereka berada dalam keadaan stabil selain kecederaan mereka tidak serius.
“Majistret membenarkan IPO (Interim Protection Order) selama 21 hari dan kedua-dua mangsa akan dihantar ke rumah perlindungan selepas selesai mendapatkan rawatan di Hospital Serdang,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, polis menahan 32 warga China termasuk tiga wanita yang dipercayai mangsa pemerdagangan orang dengan kesemua mereka dipercayai dipaksa menjadi pengendali permainan judi dalam talian itu.
Serbuan itu turut membawa kepada penemuan dua lelaki warga China berusia lingkungan 20-an dalam sebuah bilik di tingkat empat banglo itu dalam keadaan anggota badan cedera akibat didera selain kaki mereka turut diikat. – BERNAMA

