ISRAEL sepanjang Oktober lalu hanya melepas sejumlah kecil warga Palestin yang cedera akibat perbuatan pihak berkuasa Zionis semasa protes untuk mendapatkan rawatan di hospital luar Gaza.
Warga Palestin yang cedera itu memohon untuk diberi pelepasan melalui pintu sempadan Beit Hanoun untuk keluar.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan bulanannya, pada Oktober, Israel hanya meluluskan permohonan lapan daripada 52 permohonan (15 peratus) mendapatkan rawatan di luar.
Sebanyak 10 kes atau 19 peratus ditolak, manakala 34 kes lagi (65 peratus) ditangguh.
Menurut WHO, 52 permohonan itu akibat kecederaan semasa protes, dan memerlukan rawatan lanjut dan perlu melepasi pintu sempadan.
Pada 31 Oktober, terdapat 335 permohonan untuk keluar dan mendapatkan rawatan lanjut, dengan hanya 74 diluluskan, 117 ditolak dan 144 kes ditangguh.
Laporan WHO itu juga menyebut 188 permohonan atau 7 peratus dinafikan untuk keluar mendapatkan rawatan sepanjang Oktober.
Jumlah ini termasuk 10 orang kanak-kanak bawah 18 tahun dan 17 pesakit berusia lebih 60 tahun.
Lebih daripada 95 peratus permit ditolak ialah bagi mendapatkan rawatan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat. – Agensi