PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani hari ini merasmikan arca berbentuk tangan yang diangkat, melambangkan usaha bersepadu antarabangsa dalam memerangi rasuah.
Majlis itu diadakan bersempena pelancaran Program Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti-Rasuah Sheikh Tamim kali ketiga, berikutan pemilihan Malaysia buat julung kali sebagai tuan rumah program berprestij itu dari 7 hingga 10 Dis.
Monumen keluli setinggi 12 meter itu adalah hadiah daripada kerajaan Qatar kepada perdana menteri dan rakyat Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap kesungguhan yang ditunjukkan dalam usaha memerangi rasuah.
Majlis itu berlangsung di Dataran Masjid Putra di sini dan disaksikan anggota delegasi serta beberapa orang pegawai kanan.
Dr Mahathir dan Sheikh Tamim dijangka meraikan pemenang empat anugerah iaitu Pencapaian Sepanjang Hayat/Cemerlang; Inovasi; Kreativiti dan Keterlibatan Belia; serta Penyelidikan Akademik dan Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Majlis itu dianjurkan oleh Pusat Kedaulatan Undang-undang dan Anti-Rasuah (ROLACC) di Doha, Qatar, dengan sokongan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Emir Qatar kelapan itu tiba di Malaysia pada Rabu untuk melakukan lawatan kerja tiga hari dan beliau melakukan lawatan sulung ke Malaysia pada Oktober tahun lepas. – BERNAMA