PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melanjutkan tempoh reman selama empat hari terhadap pegawai keselamatan syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City) berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Isnin lalu.
Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman bermula esok sehingga Selasa ini bagi meneruskan siasatan terhadap suspek yang tempoh remannya tamat hari ini.
Sementara itu, perintah reman selama lima hari sehingga Selasa ini turut dikeluarkan terhadap enam lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan berhubung insiden rusuhan di kuil sama.
Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).
Setakat ini, 37 orang telah ditahan reman termasuk tiga pekerja One City bagi membantu siasatan kejadian rusuhan yang berlaku di perkarangan kuil tersebut serta kawasan pusat membeli belah One City pada awal Isnin dan Selasa yang turut menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah.
Dua hari lalu, mahkamah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap 20 individu termasuk tiga pekerja syarikat pemaju manakala 10 lagi ditahan reman semalam bagi membantu siasatan kes sama. – BERNAMA

