KUALA LUMPUR – Kontroversi berhubung usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dicetuskan oleh menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi UMNO dan PAS pula cuba disalahkan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, isu dicetuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang memegang portfolio perpaduan itu mengakibatkan perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Wanita UMNO mendesak Waytha Moorthy menyelesaikan segera isu ratifikasi ICERD yang menimbulkan polemik dan kontroversi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pemimpin PH termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun cuba menyalahkan UMNO dan PAS terhadap polemik ICERD yang semakin menebal dalam kalangan rakyat.
Noraini berkata, seramai 191 Ketua Wanita UMNO Bahagian telah membuat laporan polis ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut.
Menurut beliau, laporan itu berhubung rakaman video Waytha Moorthy yang keterlaluan dan memburukkan imej Malaysia.
Kata beliau, Wanita UMNO tidak dapat berkompromi dengan ucapan Waytha Moorthy yang berniat menghasut, membangkitkan rasa benci, penghinaan dan perasaan tidak suka kepada kerajaan terdahulu.
“Pada masa yang sama, ucapan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu di Belanda kira-kira 10 tahun lalu yang tular boleh menimbulkan ketegangan antara kaum seterusnya mengancam keselamatan negara.
“Dakwaan Waytha Moorthy masyarakat India Malaysia didiskriminasi ketika di bawah pentadbiran BN berniat jahat, malah fitnah terbesar apabila menggambarkan negara ini melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau,” katanya

Tambah beliau, Waytha Moorthy turut memfitnah kononnya 10,000 kuil dirobohkan dengan hak bukan Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam dinafikan di negara ini.
Kata beliau, Waytha Moorty menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik selain kerajaan BN telah melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain.
“Dengan segala fitnah dan pembohongan ini, Wanita UMNO mahu Waytha Moorty disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 atau mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan,” katanya. – MYNEWSHUB.TV

