TOKYO – Didikan nilai-nilai moral yang baik perlu diberi perhatian di peringkat sekolah sedari tadika hinggalah universiti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara perlu menerapkan pendidikan nilai-nilai murni dan keperibadian yang melepasi pengetahuan.
“Saya berpendapat beberapa perhatian perlu diberikan kepada sekolah sedari tadika hingga universiti terhadap perbincangan mengenai nilai-nilai moral yang baik,” katanya pada ucapan pembukaan dialog dengan para pelajar di Toyo University di sini Rabu.
Perdana Menteri adalah dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun sejak Isnin.
Dr Mahathir berkata, beberapa negara telah menggunakan pendidikan sebagai bentuk indoktrinasi.
“Saya pernah melihat sekurang-kurangnya sebuah negara, di mana orang semuda enam tahun diajar agar mengasihi pemimpin dan menganggap beliau sebagai Tuhan yang tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, dan hasilnya terbentuk sebuah rejim dan kerajaan yang zalim.
“Ia akan menjadikan rakyat sengsara dan kerajaan berkenaan akan gagal,” kata Perdana Menteri.
Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Sementara itu, pada sesi dialog berkenaan, Dr Mahathir berkata senjata terbaik bagi memerangi rasuah ialah dengan melahirkan masyarakat atau menerapkan kepada orang ramai bahawa rasuah itu satu jenayah.
“Semasa mereka masih muda, mereka hendaklah diberitahu bahawa rasuah adalah satu jenayah. Itulah pertahanan terbaik bagi memerangi rasuah. Anda membesar untuk menolak rasuah, barulah masyarakat menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, rasuah bukanlah sesuatu yang mudah hendak kita hapuskan dan kita mesti mencuba bagi memastikan rasuah tidak tersebar luas di mana-mana. – BERNAMA