MELAKA – Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menawarkan semula insentif sebanyak US$10 untuk setiap penumpang bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata insentif untuk penumpang sektor antarabangsa itu bertujuan menarik lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di LTAM dan perkara itu akan dibincangkan di peringkat kerajaan negeri berdasarkan keperluan semasa.
Katanya insentif untuk setiap penumpang itu ditawarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini kepada syarikat penerbangan tetapi ia tidak memberi impak positif kepada perkembangan operasi di LTAM.
“Kerajaan terdahulu pernah menawarkan pakej insentif sebanyak US$10 untuk setiap penumpang kepada syarikat penerbangan termasuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) namun tiada maklum balas daripada syarikat berkenaan.
“Oleh itu, kita akan mengadakan perbincangan sama ada ingin menawarkan semula insentif tersebut dan tawaran itu akan diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di LTAM di sini, hari ini.
Turut hadir Pengurus LTAM Malaysia Airports Sdn Bhd Mohamad Nazri Mat Khalib.
Mohd Sofi berkata UPEN dalam proses menyiapkan surat tawaran kepada semua syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa untuk beroperasi di LTAM.
“Kita berharap semua usaha yang dilaksanakan ini akan menjadi kenyataan dan memberi perkembangan positif kepada industri penerbangan negeri dan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata LTAM menyediakan pelbagai kemudahan lengkap untuk beroperasi pada tahap maksimum dan mampu menampung kira-kira 1.5 juta penumpang setahun.
Katanya jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding 64,000 jumlah penumpang pada tahun lepas melalui penerbangan dua hala setiap hari yang ditawarkan oleh Malindo Air iaitu dari LTAM ke Pekanbaru, Indonesia dan Melaka ke Pulau Pinang selain penerbangan sewa khas dan persendirian.
“Secara keseluruhannya, penggunaan LTAM dan fasiliti sedia ada hanya digunakan kira-kira empat peratus sahaja dan kerajaan negeri akan terus berusaha untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan, swasta dan persendirian untuk beroperasi di sini,” katanya. – BERNAMA