SECARA tiba-tiba, bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), amalan agama umat Islam di Malaysia yang telah diamalkan selama ini dipersoalkan seperti mahu dihukum.
Amalan agama ini juga disebut sebagai budaya walaupun sebenarnya satu amalan yang digalakkan dalam ajaran Islam bagi pengikut mazhab Syafie.
Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengkritik pendirian kerajaan yang disampaikan kepada PBB kerana menerima amalan khatan bagi kanak-kanak perempuan.
Suhakam yang berpegang pada pandangan liberal menyifatkan khatan kanak-kanak perempuan sebagai female genital mutilation (FGM), bermaksud mutilasi alat kelamin perempuan.
Pelbagai pihak telah menjawab dakwaan salah ini, yang menyamakan FGM dengan khatan yang diamalkan umat Islam di negara ini.
Kerajaan, melalui Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersikap defensif apabila berkata perkara ini akan dirujuk pada Kementerian Kesihatan.
“Kami sedang dalam perbincangan dengan kementerian kesihatan, kerana ia sebenarnya lebih kepada budaya yang telah diamalkan sejak sekian lama.
“Tetapi amalan kita tidak sama dengan yang diamalkan di Afrika.
“Tetapi kita tetap akan membincangkan hal ini dan menelitinya. Kalau tiada apa-apa faedah daripadanya, maka kita patut berbuat sesuatu,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Wan Azizah menyatakan “kalau tiada apa-apa faedah daripadanya,” yang membayangkan hal ini masih terbuka pada pandangan pelbagai pihak, dan boleh diharamkan nanti.
Selain Kementerian Kesihatan, kerajaan lebih wajar merujuk kepada pihak berautoriti dalam agama, termasuk para mufti dan agamawan mewakili Islam mazhab utama negara ini.
Pendirian kerajaan ini menunjukkan semakin banyak hal ehwal umat Islam boleh dijadikan masalah dan isu hingga menganggu ketenangan dan keharmonian umat Islam. – Mynewshub.tv