BANGI – Kursus induksi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) secara percuma akan diadakan untuk pengamal media bagi mempersiapkan mereka untuk berhadapan cabaran baharu, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata persekitaran kerja yang berubah serta penggunaan gajet moden dan pintar juga akan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan berkaitan ergonomik, penglihatan dan penyakit mental seperti tekanan perasaan dan kemurungan.
“Pencemaran yang berleluasa, bencana alam yang semakin kerap serta kemunculan pelbagai penyakit dan masalah mental baharu merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi pengamal media dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0),” katanya bersempena program KKP untuk pengamal media di ibu pejabat NIOSH di Bandar Baru Bangi hari ini.
Lee berkata NIOSH sedia bekerjasama dengan organisasi media untuk menganjur program latihan bagi pengamal media tempatan dan antara latihan yang boleh diadakan adalah seperti asas pertolongan cemas, penilaian risiko, teknik kemahiran hidup, pakaian perlindungan diri serta maklumat tentang kawasan di mana mereka akan bertugas.
Berdasarkan maklum balas yang diperolehi NIOSH, Lee berkata amalan KKP yang baik dalam kalangan warga media masih berada di tahap minimum dan banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai aspek KKP.
“Lebih mendukacitakan apabila ada pihak majikan menganggap aspek KKP ini sebagai isu remeh-temeh dan tidak bersungguh-sunguh untuk menjadikan ia sebagai amalan di organisasi media masing-masing,” katanya.
Beliau berkata organisasi media dan warga kerjanya tidak mempunyai pilihan tetapi perlu meningkatkan aspek KKP untuk menangani cabaran-cabaran baharu ini.
“Perubahan teknologi berkaitan KKP sebenarnya membolehkan organisasi media melindungi pekerja dengan lebih berkesan dan membantu mereka menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Sambil memberi contoh, Lee berkata peralatan perlindungan peribadi (PPE) berteknologi tinggi mampu memberikan perlindungan yang lebih baik kepada warga media yang menjalankan tugas di kawasan berisiko seperti tanah runtuh, kebocoran gas dan runtuhan bangunan atau struktur yang lain.
“Teknologi tanpa wayar yang digabungkan dengan perisian komputer canggih dan peralatan terkini seperti dron dan alat penderiaan jarak jauh seperti satelit misalnya membolehkan warga media membuat liputan di kawasan berisiko tinggi tanpa perlu memperjudikan nyawa mereka,” katanya.
Beliau menyeru organisasi media serta warga kerjanya merujuk kepada Garis Panduan untuk Profesional Media berkaitan dengan amalan kerja yang selamat yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia.
Garis panduan yang bertindak sebagai Prosedur Kerja Selamat (SOP) itu membolehkan kakitangan media dilengkapi maklumat apabila menjalankan liputan media di dalam zon berbahaya dan persekitaran yang boleh mendatangkan risiko kemalangan, katanya.
Sementara itu, Lee berkata kadar kematian perindustrian di negara ini telah meningkat kepada 4.90 bagi setiap 100,000 pekerja tahun lepas berbanding 4.84 pada 2016 dan 2015.
Berdasarkan statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), beliau berkata kadar kemalangan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja meningkat kepada 2.93 pada tahun lepas berbanding 2.88 pada tahun sebelumnya dan 2.81 pada 2015.
“Bagaimanapun jika trend sekarang berterusan, sasaran yang ditetapkan untuk kedua-dua kemalangan industri dan kematian tidak dapat dicapai pada tahun 2020,” katanya.
Di bawah Pelan Induk KKP 2016-2020, Kementerian Sumber Manusia telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kemalangan industri kepada 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja dan kadar kematian perindustrian kepada 4.36 bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2020. – BERNAMA