KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju-pemaju yang didapati menutup sistem perparitan di kawasan pembinaan menyebabkan banjir kilat di sekitar ibu kota.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata antara kajian dilakukan termasuklah mengenakan kompaun antara RM100,000 hingga RM500,000 ke atas pemaju yang mengambil jalan mudah dalam pembinaan mereka sehingga mengabaikan sistem perparitan.
“Kita tidak boleh biarkan ini berlaku kerana terdapat banyak kawasan pembinaan di sekitar Kuala Lumpur, tambah pula sekarang musim hujan, jadi kita kena tegas dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan untuk mengatasi masalah banjir kilat.
“Namun sebelum itu, kena kaji dulu, sekarang (sama ada) mereka (pemaju) ikut SOP (garis panduan) daripada JKR (Jabatan Kerja Raya) tetapi kita perlu kaji penguatkuasaan baharu bagi menghalang mereka menyekat sistem perparitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Meletakkan Asas bagi projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Residensi Bayu Andaman di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah bagi memantau projek-projek pembinaan di sekitar ibu kota, terutamanya kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir kilat.
Sementara itu, Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang berkata pembinaan lebuhraya berhampiran Ampang dikenal pasti sebagai penyebab utama sistem perparitan tersumbat dan banjir kilat di kawasan itu.
“Kami telah berbincang dengan pihak pemaju agar pemantauan dan pembersihan dijalankan dari masa ke semasa di kawasan takungan air berdekatan projek pembinaan itu berikutan hujan lebat berturut-turut,” katanya.
Hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu negara pada Ahad lalu telah menyebabkan beberapa kawasan dan laluan terjejas akibat banjir kilat, termasuk di sekitar Ampang.
Antara lokasi yang terjejas adalah sekitar Kampung Melayu Ampang, Taman Kosas, Ampang Utama dan Taman Melur.
Dalam pada itu, Zuraida berkata pihaknya akan menyertakan pembentukan Piawaian Perumahan Berkualiti (PPB) dalam Dasar Perumahan Negara 2018-2025 yang bakal diumumkan itu bagi memastikan rumah mampu milik dibina dalam keadaan berkualiti tinggi.
“Menerusi PPB, kami akan menetapkan KPI (Indeks Prestasi Utama) dan syarat-syarat pembinaan rumah-rumah mampu milik bagi memastikan golongan B40 bukan sahaja dapat memiliki rumah berkualiti malah dapat memberi keselesaan kepada mereka,” katanya. – BERNAMA