KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen enggan mengulas mengenai cadangan untuk menggabungkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
“Tidak, tidak, saya tak tahu tentang perkara itu,” katanya semasa ditanya pemberita mengenai cadangan tersebut di luar acara Persidangan Perangkaan Malaysia Keenam (MyStats 2018) di sini, hari ini.
Menurut laporan daripada sebuah akhbar kewangan mingguan, kerajaan akan membentangkan Kertas Putih mengenai Felda di Parlimen yang dijangka mengandungi cadangan untuk memulihkan pengurusan kewangan dan tadbir urus dalam Felda.
Satu daripada cadangan ini adalah kemungkinan penggabungan dengan Felcra.
Semalam, semasa Kongres PKR Ke-13, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan akan membentangkan Kertas Putih di Parlimen pada Disember mengenai penyalahgunaan dan pengurusan tidak bertanggungjawab Felda yang membawa kepada hutang berjumlah lebih RM8 bilion.
Persidangan sehari itu yang bertemakan “Menerima Pakai Sains Data dan Analisis bagi Mengukuhkan Langkah Membuat Keputusan Berdasarkan Bukti” bertujuan untuk merangsang komuniti perangkaan untuk meneroka bidang sains data dan analisis sebagai instrumen penting dan bermanfaat bagi membuat keputusan yang berdasarkan bukti. – BERNAMA