ALOR SETAR – Petani yang berada di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) digalakkan mencuba penanaman jagung sebagai alternatif menambah pendapatan sampingan kerana tanaman kontan itu mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata ini kerana pihaknya mendapati tanaman kontan itu dilihat mempunyai permintaan tinggi.
“Selama lebih kurang enam bulan sampai ke hari ini saya sedang buat pemantauan dan lawatan apakah produk-produk pertanian yang boleh diusahakan ataupun diperluaskan lagi, dan mana-mana tanaman yang dilihat mempunyai permintaan tinggi seperti tanaman kontan khususnya jagung, yang jika diusahakan dengan baik boleh menghasilkan pendapatan lebih lumayan daripada penanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Mejar (B) Mansor Zakaria (PAS-Kuala Ketil) yang ingin tahu inisiatif dilakukan kerajaan negeri untuk menjamin hasil pertanian mencukupi dan menjadi sebagai sumber pendapatan utama negeri ini pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Azman berkata selain itu, tanaman nanas juga mempunyai potensi sangat baik apabila mendapat permintaan agak tinggi dari dalam dan luar negeri.
“Untuk penanaman padi kita masih lagi sedang mempertahankan jumlah pengeluaran 40 peratus satu tahun bagi jelapang padi negara, di negeri Kedah ini,” katanya.
Beliau berkata pelbagai perancangan sedang disusun kerajaan negeri untuk pembangunan pertanian di negeri ini dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat negeri ini berminat menjadikan aktiviti pertanian sebagai suatu ibadah dan sumber ekonomi.
“Kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh supaya ramai akan terlibat dan menjadikan pendapatan pertanian sebagai pendapatan sangat baik,” katanya. – BERNAMA