KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyemak kembali pelaksanaan Program Susu 1Malaysia (PS1M) sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan ataupun membatalkan program itu pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata program itu tidak akan diteruskan tahun ini kerana sesi persekolahan 2018 sudah hampir ke penghujungnya dan cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi.
“…takkanlah hendak dihantar ke sekolah dengan tidak ada orang,” katanya kepada pemberita, di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan berita semalam bertajuk ‘Kerajaan tiada rancangan untuk menyambung semula Program Susu 1 Malaysia buat masa ini’.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata PS1M dianggap ‘very scandalous’ (diselubungi skandal) kerana bukan sahaja pihaknya yang tidak tahu kehilangan bekalan susu tersebut tetapi juga bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Projek susu pada tahun lepas kerajaan lama telah gagal, susu hilang untuk setahun. Kita tidak tahu ke mana pergi dan menteri (kerajaan terdahulu) tak tahu ke mana pergi (susu),” katanya.
Maszlee berkata jumlah susu didakwa hilang itu turut melibatkan jutaan ringgit dan kesemua sekolah di seluruh negara tidak menerima bekalan susu tersebut tahun ini.
PS1M merupakan program di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sepatutnya antara lain melibatkan pengedaran susu kotak kepada murid miskin di sekolah, namun tiada susu kotak diagihkan ke sekolah sejak awal tahun ini. – BERNAMA