SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas lebih 1,000 pasang kasut berjenama tiruan bernilai RM38,000 dalam satu operasi di Bandar Prima Senawang di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Zubir Hamsa berkata serbuan pada pukul 5 petang itu melibatkan dua premis di situ disyaki menjual barang tiruan.
“Siasatan awal mendapati premis yang menjual kasut pelbagai jenama tiruan ini menjalankan aktiviti perniagaan mereka secara bergerak dengan menyertai mana-mana ekspo atau menyewa tapak di pasaraya sekitar Negeri Sembilan.
“Operasi yang disertai oleh 10 orang pegawai penguatkuasa ini dijalankan berdasarkan hasil risikan ke atas aktiviti terbabit. Operasi yang dijalankan ini turut disertai wakil pemilik cap dagang. Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Katanya pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi menghalang penjualan barang tiruan dan barangan cetak rompak melalui penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987.
Katanya hukuman bagi kesalahan menjual barangan tiruan adalah denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu bagi suatu pertubuhan.
“Hukuman bagi selain dari pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap bagi barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Katanya orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan jualan barang berjenama tiruan kepada kementerian itu menerusi e-mel [email protected] atau talian 06-6016500. – BERNAMA

