KEJADIAN keganasan di sebuah kuil di Subang Jaya kini sudah begitu merosakkan kerana telah mewujudkan suasana tegang seluruh negara.
Secara mudahnya, dua pihak boleh dianggap bertanggungjawab memburukkan keadaan; exco Selangor V Ganabatirau yang mula-mula mendakwa “sekumpulan orang Islam” merusuh dan kemudian sekumpulan menteri bukan Melayu yang menyalahkan pihak polis.
Empat menteri terbabit ini termasuk Menteri Perpaduan yang masih dituntut letak jawatan kerana kenyataan fitnahnya terhadap negara dan orang Melayu.
Keempat-empat menteri dan seorang timbalan menteri itu pula daripada pelbagai kementerian yang tidak berkaitan dengan isu pemindahan kuil itu.
Empat menteri terbabit, M Kulasegaran, Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo, P Waytha Moorthy dan timbalan menteri R Sivarasa dalam kenyataan bersama menyalahkan polis Subang Jaya atas kenyataan pertama mereka.
Kenyataan mereka menambahkan lagi sentimen menyalahkan pihak lain, dan dalam hal ini mengaitkan pihak polis yang sebahagian besarnya orang Melayu.
Secara langsung dan tidak langsung, mereka menyemarakkan lagi sentimen kaum dengan menunjukkan kesalahan di pihak orang Melayu.
Maka tidak boleh dielakkan kenyataan mereka yang memburukkan keadaan kerana memainkan sentimen itu dengan kejadian keganasan terhadap anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul.
Selepas kejadian ini, tidak kedengaran lagi permohonan maaf mereka kerana menyimbah minyak pada api yang tercetus di kuil itu.
Malah, Waytha Moorthy dan Kulasegaran membuat kenyataan ketika melawat kuil itu bahawa tempat ibadat Hindu itu kekal di tempat asalnya, bertentangan dengan persetujuan asal dan keputusan mahkamah.
Ini memberi semangat lagi kepada pelampau Hindu dan pihak lain yang terlibat dan sedang marah dan bersedia untuk bertindak ganas.
Sudah jelas siapa yang bertanggungjawab mengapi-apikan sentimen hingga terjadi keganasan terhadap anggota bomba dan suasana tidak terkawal sekarang ini.
Peristiwa ini menunjukkan satu lagi kegagalan besar kerajaan Pakatan Harapan menangani isu hubungan kaum di negara ini.
Perkembangan terbaru ini menjadi bukti lagi yang Menteri Perpaduan wajib meletak jawatan. – Mynewshub.tv