SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan susulan terbaik dan segera, yang akan dibincangkan dengan agensi keselamatan terlibat termasuk Majlis Keselamatan Negeri (MKN) petang ini, bagi mengembalikan ketenteraman, susulan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini semalam.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan melihat kepada perkembangan terbaharu daripada perspektif polis, dan membincangkan perkara paling utama, yakni langkah bagi mengembalikan ketenteraman di kawasan berkenaan.
“Saya sekali lagi minta mana-mana pihak berkepentingan, jangan buat kenyataan yang ibarat menyimbah minyak ke api. Isu ini sudah menjadi isu keselamatan. Keutamaan saya adalah memastikan keselamatan di Selangor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Katanya beliau beliau juga dinasihatkan oleh polis supaya tidak mendekati dan melawati kawasan berkenaan buat masa ini demi keselamatannya.
Terdahulu Amirudin dalam kenyataannya mengecam keras serangan yang dilakukan terhadap anggota bomba dan penyelamat yang sedang bertugas dan memaklumkan kerajaan negeri bersetuju menanggung semua kos rawatan anggota terlibat.
Dalam insiden pukul 1 pagi tadi anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, diserang sehingga patah tulang rusuknya dan jentera pomba turut dirosakkan semasa bertugas di kawasan berkenaan. – BERNAMA