KERAJAAN pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap liberal rupanya masih tidak cukup liberal bagi pelampau liberal dan terus didesak supaya menyebelahi kepentingan mereka dalam semua perkara.
Pendirian kerajaan pimpinan PH berhubung amalan berkhatan bagi kanak-kanak perempuan dikritik oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang menyifatkan pendirian itu salah dan memalukan Malaysia.
Suhakam dalam satu kenyataan hari ini menyelar pendirian kerajaan dalam Laporan Berkala Sejagat (UPR) kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai amalan berkhatan kanak-kanak perempuan di Malaysia.
Laporan itu dibentangkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kementerian yang diketuai Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri.
“Ketidaktepatan kerajaan dalam pembentangan laporan itu menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kedudukan yang tidak jelas oleh kerajaan dalam menerangkan FGM (female genital mutilation) sebagai budaya Malaysia berpotensi merosakkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa,” kata presidennya Tan Sri Razali Ismail.
“Suhakam sangat kecewa dengan tindak balas yang tidak meyakinkan dan mengelirukan oleh wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa FGM tidak diamalkan di Malaysia,” katanya.
Suhakam mengambil pendirian liberal yang ekstrem apabila mengkritik amalan berkhatan sebagai bukan amalan rakyat Malaysia sedangkan amalan ini telah lama dilaksanakan sebagai sebahagian amalan agama oleh masyarakat Islam.
Pendirian gerakan liberal dalam hal ini sudah diperjuangkan sejak beberapa tahun lalu dan semakin kuat disuarakan sejak PH memerintah negara.
Kumpulan-kumpulan liberal ini merupakan antara penyokong utama PH dan memperjuangkan agenda liberal yang menyeluruh termasuk mempertikaikan hukum agama Islam yang sudah diterima oleh ulama dan pihak berkuasa agama.
Di luar negara, amalan khatan kanak-kanak perempuan ini diharamkan di banyak negara terutama di Barat, dan ini sedang mula dikempen dan diterapkan di Malaysia oleh kumpulan liberal.
Menurut tafsiran Barat, amalan khatan wanita ini bertentangan dengan standard antarabangsa yang ditetapkan dalam konvensyen berkaitan menghapuskan diskriminasi terhadap wanita, dikenali sebagai CEDAW.
Ini merupakan satu lagi contoh terkini penerapan nilai liberal yang semakin mengancam kedudukan Islam sebagai agama negara Malaysia seperti ditegaskan dalam perlembagaan.
Pendirian seperti ini menunjukkan agenda sebenar di sebalik tuntutan pihak liberal mendesak Malaysia meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa terbabit. – Mynewshub.tv